MUHYIDDIN menerima kunjungan hormat perpisahan Abu Kassim. FOTO Facebook
MUHYIDDIN menerima kunjungan hormat perpisahan Abu Kassim. FOTO Facebook
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyatakan penghargaan terhadap sumbangan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang bakal bersara wajib pada 5 Disember ini.

Muhyiddin yang memuat naik dua keping gambar kunjungan hormat perpisahan itu melalui akaun Facebook, berkata beliau sangat menghargai segala usaha dan sumbangan Abu Kassim memerangi rasuah dan memastikan integriti tadbir urus negara berada pada tahap yang tertinggi

"Semalam saya telah menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang akan bersara wajib pada 5 Disember 2020.

"Sebelum dilantik untuk mengepalai GIACC, beliau adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dari Oktober 2010 hingga Julai 2016.

"Tan Sri Abu Kassim yang saya kenali ini adalah seorang yang sangat proaktif, punya banyak buah fikiran untuk menambah baik tadbir urus negara, tegas dan pastinya seorang yang berintegriti dan komited terhadap tugasan beliau," katanya dalam hantaran yang dimuat naik pagi tadi.

Muhyiddin berkata, Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, dilancarkan pada Januari 2019, yang bertujuan menangani isu tadbir urus, integriti dan antirasuah secara menyeluruh, antara inisiatif yang dibangunkan oleh GIACC bawah kepimpinan Abu Kassim.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan. Saya doakan semoga Tan Sri sentiasa dirahmati Allah SWT dan dikurniakan kebahagiaan.

"Persaraan Tan Sri bukan mudah untuk dicari pengganti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 10:23 AM