DUA suspek yang dipercayai terbabit kes samun rantai emas seorang wanita di farmasi di Jalan Gombak, Setapak, Sabtu lalu, ditahan polis, hari ini. FOTO ihsan polis.
DUA suspek yang dipercayai terbabit kes samun rantai emas seorang wanita di farmasi di Jalan Gombak, Setapak, Sabtu lalu, ditahan polis, hari ini. FOTO ihsan polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki, hari ini, yang dipercayai terbabit dengan kes samun di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Setapak, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dengan bantuan Cawangan Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan dua suspek di lobi sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini, pada 2 pagi.

"Dua suspek ditahan itu berusia 31 dan 40 tahun dan kami merampas pakaian dipercayai digunakan suspek semasa kejadian samun di farmasi terbabit.

"Siasatan awal mendapati barangan kemas disamun itu dijual kepada pihak ketiga dan kami sedang mengesan individu terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rajab berkata, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 21 rekod jenayah dan dadah, manakala suspek kedua mempunyai lima rekod jenayah selain dikehendaki bagi kes dadah.

Beliau berkata, suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes samun dan curi dalam kenderaan di beberapa lokasi di Setapak dan Sentul.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati kereta Perodua Myvi yang digunakan suspek dipercayai kenderaan curi bersabit laporan di Cyberjaya.

"Kedua-dua suspek akan direman pagi ini untuk siasatan lanjut. Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama diberikan sehingga tertangkapnya suspek kes berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Shahrizal Saleh di talian 017-7134705 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Aisyah Mohd Nor di talian 013-9338214 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang wanita ditumbuk di muka selain dua utas rantai leher dilarikan dua lelaki ketika membuat pembayaran di sebuah farmasi di Jalan Gombak, Sabtu lalu.

Kejadian tular di media sosial itu menyebabkan mangsa cedera dan kerugian kira-kira RM10,000.

Berita berkaitan

'Wanita ditumbuk muka, dilarikan rantai leher'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 10:53 AM