Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Abang saya seorang yang berani, walaupun kami dalam pasukan yang sama namun kami dalam tugasan berlainan tetapi dia sangat cekal.

"Saya bertugas di pos kawalan manakala dia melakukan tugas rondaan tetapi sama-sama dalam Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak yang menjalankan tugas sempadan Malaysia-Thailand," kata Basri Sampe, 43.

Basri adalah adik tiri kepada Koperal Baharudin Ramli, 54, yang maut selepas ditembak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi, hari ini.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu melalui alat perhubungan telekomunikasi di pos kawalan PGA di sempadan, namun tidak dimaklumkan anggota mana yang terbabit.

"Tidak lama kemudian saya dimaklumkan mangsa adalah abang tiri menyebabkan saya sangat terkejut.

"Abang memang baik dengan keluarga walaupun kami berlainan ayah," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

BASRI Sampe. FOTO Zuliaty Zulkifli.
BASRI Sampe. FOTO Zuliaty Zulkifli.

Basri berkata, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya pada 3 petang semalam ketika mendiang melalui pos kawalan tempat dia bertugas.

"Ketika itu mendiang abang menunggang motosikal dan dia hanya angkat tangan dan tegur sebelum dia masuk kerja.

"Kami tak sempat berbual apa-apa dan itu kali terakhir saya bertemu dengannya sebelum kejadian berlaku," katanya.

Basri berkata, abangnya mempunyai isteri, Relow a/p Alang Ko, 48, dan tiga anak.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan berharap tindakan undang-undang akan dilakukan terhadap mereka yang melakukan kegiatan itu sehingga meragut nyawa abangnya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, maut akibat ditembak, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 3.10 pagi itu, mangsa, Koperal Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan A/L Tari, 39, yang turut parah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar dan mangsa yang cedera sedang dirawat di HTF dengan keadaannya dilaporkan kritikal.

Jasad Baharudin dihantar ke HSB di sini, untuk proses bedah siasat sebelum diiringi pulang ke kampungnya di Bahau, Negeri Sembilan untuk disemadikan.

Berita berkaitan

'PGA ditembak: Mendiang dibawa ke Bahau selepas selesai bedah siasat''

'Pemergian Baharuddin kehilangan besar buat negara''

Anggota VAT69 pantau lokasi serangan - KPN'

Anggota PGA maut diserang: KDN arah siasatan menyeluruh'

Ketua Polis Negara sahkan anggota PGA maut ditembak'

'Sindiket penyeludupan dipercayai serang anggota PGA'

'Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 5:41 PM