Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Polis mengeluarkan sebanyak 789 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi Op Samseng Jalanan di daerah ini dalam sejak September lalu sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, jumlah saman itu disifatkan agak tinggi dalam tempoh tiga bulan, selain sebanyak 109 motosikal disita melalui 14 operasi.

Katanya, kebanyakan motosikal yang disita membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan serta insurans tamat tempoh, selain ubah suai yang tidak dibenarkan.

"Daripada 109 motosikal yang disita, 80 daripada sudah diserahkan kembali kepada pemiliknya, manakala 29 lagi dalam proses penyerahan semula selepas siasatan.

"Polis akan menguat kuasakan undang-undang jalan raya walaupun di kawasan pinggir bandar terutamanya apabila terdapat aduan masyarakat setempat di kawasan terbabit," katanya.

Menurutnya, pihaknya menggunakan pendekatan memberikan nasihat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan khususnya membabitkan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pelajar.

OSMAN (tengah) menunjukkan sebahagian daripada 29 motosikal yang disita dan sedang dalam proses penyerahan kembali di perkarangan IPD Taiping. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
OSMAN (tengah) menunjukkan sebahagian daripada 29 motosikal yang disita dan sedang dalam proses penyerahan kembali di perkarangan IPD Taiping. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

"Ibu bapa juga perlu ingat, (bahawa) seandainya anak mereka ditahan kerana tidak mempunyai lesen (memandu), ibu bapa boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jadi pantaulah anak anda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:00 PM