Judin meninjau tempat kejadian rakannya maut ditembak penyeludup berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand pagi hari ini. Foto Amran Hamid
Judin meninjau tempat kejadian rakannya maut ditembak penyeludup berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand pagi hari ini. Foto Amran Hamid
M Hifzuddin Ikhsan

Padang Besar: "Dia sempat menegur dan bergurau bersama saya sebelum keluar meronda, saya tak sangka itu gurauan terakhir kami," kata Koperal Alang Angah, 55, yang juga rakan karib mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54.

Menurutnya, pasukannya, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor baharu memulakan penugasan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand berdekatan FELDA Mata Ayer di sini, pada 1 November lalu.

Katanya, dia sempat berjumpa mendiang kira-kira 9 malam di Pos Taman Radzi sebelum rakannya itu bersama Koperal Norihan Tari, 39, keluar melakukan rondaan menaiki motosikal di sepanjang Jalan Kesban.

"Dia tidak tunjuk apa-apa perubahan, gurauannya juga seperti biasa kerana dia memang sering bergurau dan ceria ketika bersama kami.

"Bagaimanapun, malam tadi saya tidak dapat tidur dan mula terasa tidak senang hati...kira-kira 3 pagi kami dimaklumkan mengenai kejadian dan segera bergerak ke lokasi," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, seorang lagi rakan mendiang, Koperal Judin Awi, 43, berkata, dia antara anggota terawal tiba di lokasi kejadian dan melihat mayat mendiang Baharuddin terbaring sambil memegang erat pistolnya.

"Dia memang rajin dan berani, pada bila-bila masa dia boleh keluar meronda serta meninjau kawasan sempadan selain tidak pernah mengeluh.

"Dia juga sering menasihatkan anggota lain supaya jangan gentar dan takut dengan sesiapa demi menjaga kedaulatan negara," katanya.

Judin berkata, mendiang yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan juga merancang untuk bersara pada awal pada tahun hadapan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.

Berita berkaitan

2 das tembakan di perut, dada Koperal Baharuddin

''Mendiang abang cekal, sangat berani'''

'PGA ditembak: Mendiang dibawa ke Bahau selepas selesai bedah siasat''

'Pemergian Baharuddin kehilangan besar buat negara''

Anggota VAT69 pantau lokasi serangan - KPN'

Anggota PGA maut diserang: KDN arah siasatan menyeluruh'

Ketua Polis Negara sahkan anggota PGA maut ditembak'

'Sindiket penyeludupan dipercayai serang anggota PGA'

'Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:36 PM