Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Jumlah mangsa banjir di Terengganu semakin meningkat apabila seramai 352 mangsa daripada 87 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Sehingga 6 petang ini, 15 PPS sudah dibuka secara berperingkat di enam daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, Besut, Marang dan Dungun.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Marang dan Besut menjadi daerah baharu yang dilanda bencana alam itu.

Menurutnya, seramai 23 mangsa daripada empat keluarga di Marang mula dipindahkan pada 4 petang hari ini.

"Semua mangsa ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang yang dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa.

"Di Besut, seramai sembilan mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Kampung Baharu, Kuala Besut," katanya.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil butiran diri mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Tiong semalam. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil butiran diri mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Tiong semalam. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Che Adam berkata, Kuala Nerus terus merekodkan jumlah tertinggi apabila seramai 134 mangsa daripada 29 keluarga masih ditempatkan di SK Tok Jembal dan Balairaya Alor Damat.

Menurutnya, empat lagi PPS dibuka di Dungun bagi menempatkan 64 mangsa daripada 15 keluarga.

"Semua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan, SK Tok Kah, SK Kampung Nyior dan Dewan Sivik Paka.

"Selain itu, tiga PPS dibuka di Setiu bagi menempatkan 69 mangsa daripada 17 keluarga," katanya.

Sementara itu, Che Adam berkata, banjir di Kuala Terengganu juga menunjukkan peningkatan apabila dua PPS dibuka berbanding hanya satu pagi hari ini.

Katanya, ia menempatkan 53 mangsa daripada 18 keluarga di dua PPS iaitu SK Chendering dan SK Atas Tol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 7:06 PM