GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Bharu: Kejadian banjir di Kelantan mampu mempengaruhi jumlah kes Covid-19 di negeri itu, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

"Jumlah kes Covid-19 di Kelantan dijangka tidak akan meningkat sekiranya negeri ini tidak dilanda banjir besar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Zaini berkata, sekiranya banjir besar berlaku, jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) akan bertambah dan keadaan itu berisiko menyebabkan penularan wabak.

Bagaimanapun, katanya, pihak JKNK bersama agensi terbabit yang ditugaskan di PPS diarahkan supaya sentiasa bersedia berhadapan dengan kemungkinan tersebut.

"Kita mahu semua pihak sama ada mangsa dan petugas sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar penularan Covid-19 di PPS dapat dielakkan," katanya.

Antara SOP yang ditetapkan adalah memastikan semua mangsa banjir dan petugas menjalani pemeriksaan suhu badan serta semua PPS mesti disinfeksi secara berkala.

Dr Zaini berkata setakat semalam, sebanyak sembilan kes baharu dilapor menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 288 kes.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 7:38 PM