PENDUDUK membawa barang peribadi  meredah banjir selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung petaling, Tepoh.  FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK membawa barang peribadi meredah banjir selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung petaling, Tepoh. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kemaman menjadi daerah terbaharu terjejas banjir di Terengganu susulan hujan berterusan sejak kelmarin.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, ia selepas sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di SK Kemasik bagi menempatkan 27 mangsa daripada lima keluarga di daerah itu.

"Secara keseluruhan, jumlah mangsa banjir di Terengganu semakin bertambah apabila seramai 690 mangsa daripada 184 keluarga ditempatkan di 24 PPS sehingga jam 8 pagi tadi.

"Ia menunjukkan pertambahan berbanding semalam yang hanya merekodkan seramai 352 mangsa daripada 87 keluarga di 15 PPS di seluruh Terengganu," katanya.

Che Adam berkata, mangsa di daerah Kuala Nerus terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 206 orang daripada 52 keluarga ditempatkan di empat PPS berbanding hanya 134 mangsa (29 keluarga) di dua PPS.

Beliau berkata berkata, seramai 101 mangsa daripada 27 keluarga di Kuala Terengganu dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering dan SK Atas Tol.

"Di Dungun, tujuh PPS dibuka bagi menempatkan 131 mangsa daripada 34 keluarga berbanding hanya 64 mangsa daripada 15 keluarga di empat PPS semalam.

"Selain itu, seramai 125 mangsa daripada 40 keluarga dipindahkan ke enam PPS di Setiu," katanya.

Che Adam berkata, mangsa banjir di daerah Marang juga meningkat kepada 90 orang berbanding 23 orang semalam.

Katanya, ia membabitkan sebanyak 21 keluarga yang ditempatkan di tiga buah PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, SK Tasek dan SMK Seri Payong.

"Di Besut, tiada pertambahan mangsa direkodkan apabila jumlah mangsa banjir kekal seramai 10 mangsa daripada lima keluarga yang ditempatkan di Kampung Bharu.

"Setakat ini, tiada sebarang mangsa dipindahkan ke PPS di Hulu Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 10:02 AM