PENGGUNA memuat turun aplikasi mudah alih untuk membayar tempat letak kereta bahu jalan DBKL di Setiawangsa. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
PENGGUNA memuat turun aplikasi mudah alih untuk membayar tempat letak kereta bahu jalan DBKL di Setiawangsa. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini memaklumkan pas bulanan tempat letak kereta melalui aplikasi EZ Smart Park sudah diaktifkan sejak 19 November lalu.

Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan pengguna boleh mengemas kini aplikasi itu sebelum paparan 'Beli Pas Bulanan' dipaparkan pada skrin.

"Ketika ini, pas bulanan hanya boleh dibuat melalui aplikasi EZ Smart Park. Tempoh sah laku pas bulanan ini adalah sebulan sahaja bermula dari tarikh pembelian dilakukan.

"Sebagai contoh, pembelian pas bulanan pada 19 November, tempoh sah lakunya adalah mulai 19 November hingga 18 Disember," menurut kenyataan itu.

Menurut DBKL, tempat letak kereta di Kuala Lumpur terbahagi kepada tiga zon dan pengguna boleh menyemak lokasi mengikut zon pada aplikasi EZ Smart Park sebelum pembelian dilakukan mengikut keperluan.

"Pengguna perlu memilih nombor pendaftaran kenderaan dan zon parking yang betul sebelum membuat pengesahan pembelian pas bulanan.

"Pas bulanan ini tidak boleh ditukar atau dipindah kepada nombor kenderaan lain selepas pembelian dibuat," menurut kenyataan itu.

Selain itu, pembayaran tempat letak kereta menggunakan aplikasi Touch n Go e-dompet juga sudah boleh digunakan mulai 21 November lalu.

Terdahulu, DBKL mengumumkan penggunaan kaedah baharu bagi pembayaran caj tempat letak kereta bahu jalan di ibu negara dengan menggunakan satu daripada aplikasi mudah alih dan e-dompet iaitu EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash bagi menggantikan penggunaan mesin mulai 1 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 1:26 PM