ABANG Johari menyampaikan ucapanya pada Majlis pelancaran Innostre Special Edition 2020, The 1st Global Summit on Viral-Immunology dan Antiviral Theraphy of Covid-19 di Dewan Jubli Kampus Uitm, Kota Sanarahan. FOTO NADIM BOKHARI
ABANG Johari menyampaikan ucapanya pada Majlis pelancaran Innostre Special Edition 2020, The 1st Global Summit on Viral-Immunology dan Antiviral Theraphy of Covid-19 di Dewan Jubli Kampus Uitm, Kota Sanarahan. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kota Samarahan: Sarawak menubuhkan pusat penyelidikan penyakit berjangkit bagi meningkatkan kemampuan mengesan wabak di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, pusat penyelidikan itu yang akan dibina berdekatan Taman Bio-Industri, di sini, juga akan menjadi makmal untuk mengkaji sumber tempatan untuk dijadikan ubat bagi mengawal penularan wabak baharu.

Menurutnya, pusat penyelidikan dengan kos RM190 juta itu akan dibina tahun depan dan dijangka siap pada 2024.

"Pusat penyelidikan itu nanti akan mengumpulkan saintis untuk bekerjasama dengan pihak akademik, kerajaan dan juga institusi-institusi dunia yang memiliki kemampuan dalam penelitian dan pengembangan berhubung kawalan penyakit berjangkit.

"Ia juga akan menyediakan kemudahan kepada saintis kita untuk mengenal pasti sumber tempatan untuk kita kembangkan menjadi produk ubat-ubatan yang dapat mengawal atau mengurangkan penyebaran penyakit tropika," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Teknologi dan Sains Inovasi untuk Penyelidikan dan Pendidikan (InnoSTRE) Edisi Khas 2020 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beberapa ahli akademik dan saintis tempatan sudah dikenalpasti untuk mengendalikan pusat penyelidikan itu dan mereka akan bekerjasama dengan beberapa institusi antarabangsa.

"Mereka akan berinteraksi dengan pakar antarabangsa berkredibiliti dari institusi termasuk Universiti Cambridge, Universiti Oxford dan Kolej Imperial, di mana mereka akan menjalankan penyelidikan terutamanya penyakit tropika," katanya.

Katanya, dengan kerjasama institusi antarbangsa itu, pakar industri farmaseutikal termasuk mereka terbabit dalam penyelidikan perubatan akan tampil untuk bekerjasama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 4:02 PM