GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Seorang peniaga kedai runcit di Taman Medan di sini, dan isterinya cedera dipukul tiga lelaki yang menuntut hutang RM8,000, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada isteri mangsa yang berusia 40 tahun jam 11.12 malam.

"Menurut pengadu, suaminya berusia 36 tahun dihampiri tiga lelaki ketika berada di dalam kedai runcit berkenaan.

"Ketiga-tiga lelaki terbabit menuntut hutang RM8,000 daripada mereka sebelum salah seorang suspek menampar suami pengadu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, ketika suami pengadu mempertahankan diri, dua lagi suspek turut memukul pengadu hingga mereka cedera di kepala dan badan.

"Berdasarkan maklumat itu, polis membuat tiga serbuan berasingan di daerah ini, Klang dan Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 30 hingga 45 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Hasil soal siasat dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan mengaku terbabit dalam kejadian itu.

"Semua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 4:09 PM