AHMAD Munawar menunjukkan pintu dapur dan pintu bilik air yang diketuk oleh seseorang di Kampung Parit Baru, semalam. FOTO ihsan Ahmad Munawar
AHMAD Munawar menunjukkan pintu dapur dan pintu bilik air yang diketuk oleh seseorang di Kampung Parit Baru, semalam. FOTO ihsan Ahmad Munawar
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Gangguan misteri ketukan pintu, dinding dibaling seakan objek seperti kayu dan jeriji pintu dapur digoncang hingga terbuka di Taman Air Manis dan Kampung Tebuk Pulai, di sini, sejak kelmarin, tidak menunjukkan tanda akan berhenti.

Terbaru, tiga rumah di Kampung Parit Baru, Sabak Bernam dan sebuah rumah di Taman Padu Permai, Sungai Besar dikejutkan dengan gangguan menakutkan itu semalam.

Penduduk Kampung Parit Baru, Norziani Mohamed, 37, berkata, rumahnya mengalami gangguan ketukan pintu itu sebanyak dua kali sejak kelmarin.

Katanya, ketika kejadian, dia dan suami, Ahmad Munawar, 41, dan anak mereka berusia sembilan tahun berada di rumah.

"Kejadian kelmarin berlaku pada 11.30 malam. Waktu itu, bunyi ketukan berlaku di pintu dapur dan kebetulan, saya matikan lampu di luar (dapur).

"Malam tadi (semalam) ketukan berlaku lagi pada 11.10 malam. Kali ini, ia sasarkan pintu bilik air di luar rumah dan ia (ketukan) berlaku selama kira-kira 10 minit selain bunyinya sangat kuat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norziani berkata, dia bersama suami dan anak hanya mampu berdoa dan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

"Allah saja yang tahu betapa takutnya saya sekeluarga ketika mendengar bunyi ketukan itu," katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Padu Permai, Alisa Ahmad, 29, berkata, dia mendengar bunyi ketukan itu di pintu hadapan rumahnya kira-kira 10 malam tadi.

"Semasa kejadian, hanya saya dan dua anak berusia 5 dan 4 tahun berada di dalam rumah manakala suami tiada kerana bekerja di Shah Alam.

"Mulanya, anak sulung mendengar ada bunyi ketukan pintu selepas dia keluar dari tandas dan memaklumkan kepada saya. Tidak lama selepas itu, saya terdengar juga bunyi (ketukan pintu) itu.

"Bunyi ketukan itu berlaku sebanyak tiga kali dan pintu seolah digegar seseorang. Saya sangkakan mimpi, namun terkejut apabila ia benar-benar berlaku di rumah ini," katanya yang menyewa di taman perumahan itu sejak empat tahun lalu.

Katanya, dia mengintai di tingkap untuk melihat siapa yang melakukan perbuatan itu, namun kelu apabila mendapati tiada siapa di luar rumahnya.

"Kebetulan saya buka lampu di bahagian depan, jadi saya tidak nampak sesiapa pun berada di luar rumah.

"Bimbang gangguan bakal berulang, saya menghubungi jiran sebelah dan meminta tolong untuk memantau rumah," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Taman Padu Permai, Muhammad Ali Manjok ketika dihubungi berkata, kejadian itu kali kedua berlaku di taman perumahan terbabit.

"Kita mengambil maklum gangguan ketukan pintu ini. Kali pertama kejadian pertama adalah kelmarin.

"Malam ini, kita akan berbincang dengan jawatankuasa taman bagi mencari jalan supaya perkara ini tidak berulang kembali termasuk mengadakan rondaan di taman," katanya.

Berita berkaitan

Ketukan pintu misteri ...angkara hantu atau manusia?

Siapa ketuk pintu?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 4:09 PM