GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pekerja restoran warga India dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencabul seorang wanita di laluan pejalan kaki, dua minggu lalu.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Allah Pitchai Bazeeth Mohamed, 26, selepas lelaki itu mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai tarikh tangkapan 13 November lalu

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa berusia 31 tahun di laluan pejalan kaki di hadapan tangga berhampiran Pusat Dialisis Davita, Jalan Megan Setapak, Wangsa Maju, di sini, pada jam 8 malam, 13 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia telah insaf selain tidak mampu membayar denda.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zuraidi Zulkifli memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 4:15 PM