Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: "Saya memang tidak sedap hati, malah semalam bermimpi suami duduk di tepi tingkap rumah, memandang saya tanpa bercakap dan tak sangka pagi tadi kami dikejutkan dengan berita sedih ini," kata Salmiah Mustapar, 67.

Salmiah adalah isteri kepada Mat Saleh Mat Ali, 69, yang meninggal dunia akibat dihempap pokok sawit tumbang ketika menunggang motosikal di Kampung Bakar Bata, Ayer Tawar di sini, hari ini.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa arwah yang juga Imam Masjid Darulnaim, Kampung Bakar Bata pada 7.15 pagi daripada sepupu dan segera ke lokasi bersama adik perempuan.

"Kaki saya terus lemah dan tidak berdaya berdiri sebaik dimaklumkan kejadian itu dan lebih pilu apabila melihat keadaan suami di lokasi," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini,

Salmiah berkata, dia tidak tahu bila arwah dihempap kerana mangsa hanya ditemui penduduk kampung yang melalui jalan itu pagi tadi.

"Arwah juga mungkin dalam perjalanan pulang dari rumah kedua kami yang terletak berhampiran kandang kambing. Dia kerap berada di sana untuk menjaga kambing tetapi akan pulang ke sini untuk jumpa kami sekeluarga terutama anak bongsu (Norfatin, 28) yang sindrom down," katanya yang memberitahu mereka dikurnia lima anak, 14 cucu dan seorang cicit.

Salmiah juga menyifatkan suaminya seorang yang baik, bertanggungjawab dan rajin mengaji al-Quran selain banyak menghabiskan masa di masjid.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Darulnaim, Osman Abdul Rashid berkata, kali terakhir mereka berjumpa arwah selepas solat Isyak, semalam dan menyifatkan kematian arwah sebagai kehilangan besar bukan saja kepada masjid, malah komuniti kampung mereka.

Katanya, arwah yang sudah hampir 30 tahun berkhidmat sebagai imam, antara individu yang mencetuskan idea mengaji al-Quran beramai-ramai di masjid dan rumah jemaah setiap tiga kali seminggu.

"Hubungannya dengan jemaah juga rapat, cuma saya perasan dia agak kurang bercakap dan suka termenung sebelum kejadian itu," katanya yang memberitahu arwah seorang mesra dan ringan tulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas dihempap pokok sawit tumbang dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata.

Berita berkaitan

Ajal dihempap pokok sawit

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:59 PM