NAIM Haiqal menunjukkan bakat solekan kesan khas yang menukar wajahnya. FOTO ihsan Naim Haiqal Hassan
NAIM Haiqal menunjukkan bakat solekan kesan khas yang menukar wajahnya. FOTO ihsan Naim Haiqal Hassan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sekali pandang wajah Naim Haiqal Hassan kelihatan seperti karakter anime hingga ada yang beranggapan dia melakukan pembedahan plastik.

Namun, Naim, 21, yang menetap di Batang Kali, Selangor menafikan tuduhan itu sebaliknya dia hanya melakukan solekan pada wajah dengan teknik yang betul sebagai satu hobi pada waktu terluang.

"Saya memang minat menyolek wajah tetapi lebih kenapa solekan kesan khas yang menjadikan wajah seperti haiwan, karakter animasi atau hantu.

"Minat itu bertambah selepas melihat hasil solekan personaliti media sosial Indonesia, Jharmabagwani di Instagram (IG).

"Sejak itu, timbul keinginan mencuba dan ia sudah jadi sebahagian hobi saya sejak Jun lalu ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, setiap solekan mengambil masa hampir dua jam untuk disiapkan.

Katanya, masa yang lama diperlukan kerana setiap solekan memerlukan ketelitian untuk dihasilkan.

"Saya tidak mengikuti sebarang kelas solekan dan dandanan sebaliknya hanya mengasah sendiri kemahiran itu .

"Saya gunakan saja alat solek yang ada di rumah atau beli secara dalam talian.

"Solekan saya berpandukan gambar, video atau karakter dalam sesebuah filem," katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan di pusat beli-belah di Genting Highlands.

Naim berkata, dia akan terus mengasah kemahirannya dalam teknik solekan itu meskipun gambar dan video hasil kerjanya menerima kecaman warganet selepas dimuat naik di IG dan TikTok.

"Mulanya memang sedih apabila banyak kecaman diterima dan selain dituduh melakukan pembedahan plastik, segelintir warganet menyamakan wajah saya dengan makhluk asing sedangkan teknik solekan, penggunaan lampu serta posisi gambar diambil yang membantu wajah jadi begitu.

"Namun, saya kini sudah lali dengan kecaman kerana apa yang penting keluarga memahami.

"Hobi ini memberi kepuasan berbeza dan impian saya adalah bekerja sebagai jurusolek kesan khas untuk syarikat produksi filem atau drama tetapi banyak lagi perlu dipelajari memandangkan saya hanya seorang amatur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 8:32 PM