PETUGAS memasukkan barang bantuan ke dalam kotak sebelum diagihkan. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
PETUGAS memasukkan barang bantuan ke dalam kotak sebelum diagihkan. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
Mohd Rashidi Yusuf


Gerik: Program Gerak Prihatin hasil cetusan idea Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman dilaksanakan bermula semalam, dengan pengagihan bantuan kepada hampir 10,000 keluarga di sini.

Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temenggor, Nor Azreen Khasim berkata, pada hari pertama semalam, pengagihan sebanyak 1,000 bungkusan bantuan diedarkan kepada penduduk di lima kampung.

Katanya, bantuan disalurkan kepada 4,920 keluarga di Dewan Undangan Negeri (Dun) Temenggor diketuai Salbiah Mohamed dan 5,000 keluarga di Dun Pengkalan Hulu diketuai Datuk Aznel Ibrahim.

"Pengagihan bantuan makanan untuk keperluan sebulan ini dinamakan Gerak Prihatin hasil cetusan idea Allahyarham Datuk Hasbullah bersama Adun Temenggor dan Adun Pengkalan Hulu.

"Idea itu timbul sejak minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagaimanapun beliau (Datuk Hasbullah) meninggal dunia sebelum sempat barangan diagihkan dan sekarang baru dimulakan selepas tertangguh," katanya.

Nor Azreen berkata, Dun Temenggor merangkumi 10 kampung tradisional, taman perumahan dan perkampungan Orang Asli.

"Dun Pengkalan Hulu pula merangkumi kampung tradisional, taman perumahan dan penempatan masyarakat Siam di Kampung Tasik dan Kampung Pong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 11:36 PM