ADNAN. FOTO Arkib NSTP
ADNAN. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling dan Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pelbagai pihak menaruh harapan tinggi Belanjawan 2021 yang dibahaskan di Parlimen diluluskan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat ketika negara kini berdepan krisis ekonomi dan pandemik Covid-19.

Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion dianggap penting dalam sejarah negara bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus kekal di landasan pemulihan sekali gus memberi kesan positif terhadap kelancaran perkhidmatan awam, keamanan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai peringkat.

Harapan itu dinyatakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat yang berharap ia diluluskan demi manfaat sistem penyampaian perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan menekankan penjawat awam dan sektor perkhidmatan kerajaan menjadi pemudah cara kepada rakyat supaya mereka dapat keluar daripada kemelut ekonomi.

Menurutnya, Cuepacs berharap semua pihak sama ada di pihak pembangkang dan kerajaan mencari titik persefahaman dalam isu Belanjawan 2021.

"Titik persefahaman terbabit adalah rakyat, rakyat keutamaan kepada semua pihak ketika ini kerana hampir semua menerima kesan daripada penularan pandemik ini.

"Jika sektor perkhidmatan awam terjejas akibat belanjawan 2021, ia juga memberi kesan keseluruhan kepada negara," katanya.

Adnan berkata, Belanjawan 2021 bukan semata-mata mengenai gaji penjawat awam sahaja kerana ia membabitkan kepentingan semua pihak khususnya rakyat.

Katanya, penjawat awam mempunyai tugas penting ketika ini iaitu memastikan usaha mencegah penularan Covid-19 berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata, jika peruntukan untuk kedua-dua perkara ini tidak diterima, sudah pasti penjawat awam sukar melakukan usaha menangani penularan pandemik Covid-19 selain memastikan ekonomi negara kembali pulih untuk kesejahteraan hidup rakyat.

"Jika belanjawan ini gagal diluluskan, ia ibarat menghantar penjawat awam ke medan perang tanpa kelengkapan dan senjata mencukupi.

"Akhirnya segala usaha dan keringat kita semua tidak memberi kesan yang kita mahukan. Dalam hal ini rakyat juga akan terkesan kerana keselamatan dan kesejahteraan hidup mereka juga bergantung kepada kejayaan negara bebas daripada Covid-19," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador meletakkan kepercayaan penuh kepada Dewan Rakyat supaya Belanjawan 2021 dapat diluluskan bagi memperkasakan sektor pertahanan dan ketenteraman awam negara.

"Pemimpin politik dilihat dapat memainkan peranan masing-masing dengan penuh kematangan dan dengan rasa penuh bertanggungjawab.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa fokus menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di samping melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Abdul Hamid berkata ketika ini, keadaan keselamatan terkawal dan pihaknya sentiasa membuat pemantauan terhadap sebarang aktiviti di seluruh negara selain membantu dalam penguatkuasaan bagi membendung penularan Covid-19.

"Kami tetap fokus dalam tugasan membantu Kementerian Kesihatan menangani ancaman Covid-19," katanya.

ABDUL Hamid. FOTO BERNAMA
ABDUL Hamid. FOTO BERNAMA

Bagaimanapun, kata Abdul Hamid, beliau yakin sekiranya belanjawan dibentangkan tidak diluluskan, proses demokrasi di negara ini akan tetap berjalan lancar.

Sebelum ini, PDRM mengiktiraf agihan peruntukan RM17 bilion diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan PDRM kepada masyarakat.

Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion, merangkumi RM236.5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala bakinya RM69 bilion peruntukan perbelanjaan pembangunan.

Sebanyak RM17 bilion pula di bawah Kumpulan Wang Covid-19 sementara RM2 bilion diperuntukkan bagi simpanan luar jangka.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 7:20 AM