Amir Abd Hamid


Sepang: Berakhirnya kepungan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 12.01 tengah malam tadi, melegakan penghuni di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, di sini.

Tinjauan Harian Metro mendapati sejurus Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof hadir menamatkan secara rasmi PKPD di kawasan itu, penduduk ceria melihat kawat berduri dibuka semula oleh tentera.

Peruncit, Idris Husin, 56, amat berharap aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan kembali pulih dengan segera.

"Sebagai peniaga, kita harap orang ramai tidak fobia untuk berkunjung ke sini semula. Orang tengok kawasan dikepung menggunakan pagar kawat berduri seolah-olah sesuatu yang menakutkan.

"Kawalan oleh pasukan keselamatan (polis dan tentera lengkap bersenjata api) menyebabkan saya tengok penduduk di kawasan perumahan luar kepungan PKPD pun tak berani nak keluar.

"Keadaan jadi sunyi sepi bukan sahaja dalam kawasan kepungan PKPD tetapi di luar. Bukan sahaja peniaga di dalam Medan 88 malah kedai di luar kawasan ini pun saya lihat tiada pengunjung yang datang, tak ada orang lalu-lalang.

"Harap di sini selepas ditamatkan PKPD, cepatlah pulih semula keyakinan orang ramai untuk ke sini," katanya.

Idris yang menetap di Labu Lanjut, di sini, dan berasal dari Temerloh, Pahang itu berkata, dia sudah disahkan negatif Covid-19 dalam saringan pertama dan sedang menunggu keputusan saringan kedua.

Beliau juga bersyukur sebab tiga kakitangannya, pekerja sambilan yang juga penuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), turut negatif Covid-19.

Pekerja kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nor Hafizah Othman, 37, pula merasakan seperti merdeka selepas dua minggu terkurung tidak boleh keluar daripada kawasan PKPD itu.

"Apa pun, langkah PKPD ini bagus untuk mengawal penyakit Covid-19 daripada merebak. Malam sebelum membuat saringan swab test (ujian calitan), saya tak dapat tidur lena.

"Rasa takut terkena (jangkitan Covid-19), kemudian fikir pula takut ujian itu menyakitkan. Syukur Alhamdulillah, selepas dua kali saringan, saya didapati tidak dijangkiti virus itu.

"Nasihat saya patuhilah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam usaha mencegah penularan Covid-19," katanya yang berasal dari Pendang, Kedah.

Faizal Muhammad Jal, 28, yang berasal dari Semporna, Sabah turut berkongsi perasaan sama iaitu rasa seperti kembali bebas selepas PKPD berakhir.

"Kali pertama merasai seperti dikurung sebegini (PKPD). Lega, Alhamdulillah semua pagar kawat berduri yang mengelilingi kawasan Medan 88 sudah boleh dibuka.

"Terima kasih kepada semua barisan hadapan yang bertungkus-lumus siang malam berkhidmat dengan sungguh-sungguh supaya penularan Covid-19 diputuskan," katanya.

Nor Hafizah (dari kiri), Idris dan Faizal. FOTO NSTP
Nor Hafizah (dari kiri), Idris dan Faizal. FOTO NSTP

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, perlaksanaan PKPD di kawasan Medan 88 Salak Tinggi, berkuat kuasa bermula 12 hingga 25 November.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 8:05 AM
    TENTERA dari Batalion Ke-25 RAMD Kem Bentong membuka ikatan dawai kawat berduri selepas tamatnya PKPD Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. FOTO NSTP
    TENTERA dari Batalion Ke-25 RAMD Kem Bentong membuka ikatan dawai kawat berduri selepas tamatnya PKPD Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. FOTO NSTP