Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Mana-mana pihak termasuk sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu ketika pemindahan mangsa banjir atau memberi sumbangan di daerah Hulu Terengganu perlu mendaftar dan mendapatkan pas kebenaran daripada polis terlebih dahulu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, langkah itu bertujuan mengawal dan mengenal pasti individu atau mana-mana pihak yang memasuki kawasan bencana dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 ketika musim banjir.

Beliau berkata, pemegang pas sukarelawan juga perlu mematuhi beberapa syarat iaitu tidak dibenarkan masuk ke kawasan parameter pusat pemindahan dan hanya boleh sampai di luar pagar.

"Mereka hanya dibenarkan berjumpa dengan mana-mana pegawai di pusat pemindahan yang ditetapkan untuk menyampaikan bantuan selain tidak dibenarkan masuk membuat lawatan atau apa-apa aktiviti kebajikan di dalam pusat pemindahan.

"Kita tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan yang diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Terengganu," katanya.

Mohd Adli berkata, pihaknya mengalu-alukan dan menghargai usaha mana-mana pihak yang ingin membantu namun mereka harus mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerana negara masih bergelut dengan Covid-19.

Katanya, lebih 150 kekuatan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi musim tengkujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 1:59 PM
TINJAUAN banjir di Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
TINJAUAN banjir di Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori