MICHAEL Tay Chee Boon. FOTO Ihsan Michael Tay
MICHAEL Tay Chee Boon. FOTO Ihsan Michael Tay
Omar Ahmad


Johor Bahru: Majikan disaran melakukan ujian saringan secara menyeluruh dan lebih kerap terhadap pekerja asing mereka bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Pengerusi Task Force Covid-19 MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, ia perlu selepas mengambil kira penularan kes wabak itu dalam kalangan pekerja asing mendadak di negara ini.

"Ujian saringan itu boleh dilakukan sebulan sekali. Mengambil contoh Kluster Teratai yang terdiri pekerja kilang di Meru, Klang mencatat peningkatan kes positif Covid-19 baharu tertinggi iaitu 1,067 kes kelmarin.

"Ujian saringan Covid-19 agak mahal, jadi mungkin kerajaan boleh fikir cara untuk membantu majikan dalam hal ini seperti pengecualian cukai atau sebagainya," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Micheal Tay juga menyuarakan kebimbangan berhubung tindakan warga asing yang sepatutnya dikuarantin dan memakai gelang pink masih bekerja seperti yang tular di media massa baru-baru ini.

"Malah ada juga gambar yang tular memaparkan pekerja warga asing memanjat pagar di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Kedegilan mereka bukan sahaja menyusahkan pihak berkuasa, malah turut membahayakan masyarakat setempat yang terdedah dengan penularan wabak Covid-19.

"Dalam hal ini pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas sama ada terhadap pekerja asing terbabit atau majikan mereka," katanya.

Dalam pada itu, aplikasi MySejahtera juga perlu dikemas kini dan ditambah baik bagi membantu proses mengesan kontak rapat pesakit Covid-19, untuk mengelakkan penularan menjadi lebih besar.

#kw Covid-19, pekerja, asing, saringan, Micheal Tay

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 2:25 PM