HASANUDDIN. FOTO Zuliaty Zulkiffli
HASANUDDIN. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai kawasan tanggungjawab masing-masing untuk menjaga keamanan di sempadan Malaysia-Thailand dari dibolosi penyeludup.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, tiada halangan bagi pihak ATM melakukan tangkapan di kawasan mereka dan menyerahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Andai kata mereka (ATM) ada tangkapan dibuat di sempadan, mereka boleh memaklumkan kepada pihak kami.

"Tak ada masalah kalau pihak tentera nak buat tangkapan malah kalau orang awam ada buat tangkapan, kita akan terima dan buat tangkapan semula," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hasanuddin menasihatkan semua anggota keselamatan yang bertugas di sempadan supaya berhati-hati kerana mereka tidak tahu bila akan jadi mangsa penyeludup.

Beliau berkata, walaupun situasi di sempadan agak panas namun tanggungjawab perlu dilaksanakan seperti biasa.

"Malah, kami akan menjadi lebih peka dengan keadaan semasa di kawasan sempadan.

"PDRM juga akan mempertingkatkan lagi kawalan sempadan dengan menghantar pasukan kereta perisai, pasukan berkuda untuk menjaga sempadan dari diceroboh," katanya.

Bagaimanapun Hasanuddin enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai langkah yang akan diambil PDRM untuk mempertingkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Perlis khususnya di negeri ini dari dibolosi penyeludup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 4:28 PM