KAMPUNG Jedip, Pos Brooke terdedah kepada banjir lumpur. FOTO RAMLI IBRAHIM
KAMPUNG Jedip, Pos Brooke terdedah kepada banjir lumpur. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Kami tak lena tidur hingga ke pagi setiap kali hujan lebat kerana bimbang kejadian tanah runtuh akibat hakisan bukit," kata Sariani Alang, 48, Orang Asli Kampung Jedip, Pos Brooke, dekat sini.

Sariani adalah antara 400 penduduk Orang Asli kampung itu yang sering berdepan detik cemas setiap kali hujan lebat terutama musim tengkujuh ini kerana akan berlaku banjir lumpur.

Menurutnya, hakisan bukit itu mungkin terjadi akibat penarahan bukit yang dilakukan oleh pihak yang membuka ladang sayur terletak hanya 50 meter dari belakang rumah penduduk.

"Walaupun sebelum ini sudah beberapa kali dibuat bantahan berhubung perkara ini tetapi ia tidak dipandang serius syarikat kebun sayur terbabit.

"Apabila kerap hujan, kami akan dengar bunyi deruan air yang turun dari bukit yang menempatkan lokasi tanaman sayur hingga membimbangkan keselamatan kami.

"Malah, sebelum ini pernah banjir lumpur ini hampir memasuki kediaman kami," katanya ketika ditemui di Kampung Jedip, Pos Brooke, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Penghulu Orang Asli Kampung Jedip, Nasir Busu, 48, berkata, masalah gondol bukit untuk tujuan kebun sayur itu berlaku sejak lima tahun lalu.

"Ladang sayur itu terletak di puncak bukit berhampiran kediaman penduduk. Ada juga penduduk terpaksa keluar rumah bagi menyelamatkan diri apabila hujan lebat kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

"Kami di Kampung Jedip ini hidup tertekan hingga kami semua kerap berjaga malam apabila hujan lebat kerana takut hakisan berlaku atau perkara buruk yang lain akibat tanah yang digondolkan itu," katanya.

Menurutnya, walaupun penduduk ada melakukan bantahan terhadap perkara itu, namun syarikat pengusaha kebun sayur terbabit tidak mengendahkan.

"Kita bimbang jika keadaan ini berterusan kemungkinan masa depan penduduk Orang Asli akan kehilangan tempat tinggal apabila diancam hakisan serius.

"Pernah juga beberapa kali sebelum ini berlaku banjir lumpur hingga tenggelamkan Jalan Lojing-Gua Musang dan menyukarkan kenderaan untuk melaluinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 4:43 PM