ABDUL Ghani bersyukur menghuni rumah baharu sumbangan Noor Azman di Kampung Tangga Batu Pekan, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
ABDUL Ghani bersyukur menghuni rumah baharu sumbangan Noor Azman di Kampung Tangga Batu Pekan, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Melaka: Perlu menadah air hujan yang menitik jatuh dari lubang bumbung yang bocor setiap kali hujan lebat berlaku.

Itu nasib dialami seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), Abdul Ghani Mohd Noor, 60, yang menetap di rumah usang di Kampung Tangga Batu Pekan, Tanjung Kling di sini.

Dia memberitahu tinggal berseorangan di rumah pusaka itu dan tidak mampu menggantikan bumbung atau dinding papan yang sudah uzur kerana sekadar bekerja di kedai makan.

"Sejak arwah ibu dan ayah meninggal dunia lebih 20 tahun lalu, saya terpaksa menghuni rumah usang yang bocor di sana sini," katanya ketika ditemui tadi.

Dia bagaimanapun mampu tersenyum sejak mula menghuni rumah baharu di lokasi sama hasil sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Lelaki kerdil itu berkata, dia tidak mampu bekerja lagi kerana menghidap pelbagai jenis penyakit, terutama diabetis yang menyebabkannya terpaksa bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Rumah lama itu sudah terlalu uzur dan saya pernah memohon mendapatkan rumah program perumahan rakyat termiskin (PPRT) sebelum ini

"Saya amat bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Yang Berhormat (Nor Azman) kerana sanggup berkorban menggunakan wang sendiri untuk membina rumah ini," katanya.

Sementara itu Nor Azman berkata, beliau bimbang Abdul Ghani ditimpa bumbung atau dinding rumah yang sudah terlalu uzur akibat dimakan anai-anai.

Sumbangan rumah satu bilik dan satu bilik mandi itu diharapkan mampu memberikan keselesaan untuk Abdul Ghani meneruskan kehidupan tanpa perlu bimbang ditimpa bumbung atau dinding yang sudah usang, katanya.

Bagaimanapun, beliau meminta penduduk yang layak supaya tidak berputus asa memohon mendapatkan skim perumahan untuk rakyat termiskin dan pertimbangan hanya akan diberi kepada mereka yang benar-benar memenuhi kriteria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 4:44 PM