GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 243 individu ditahan kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 217 individu dikompaun manakala 26 individu pula direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (79), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (48), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (40), rentas negeri atau daerah PKPB tanpa kebenaran (20) dan lain-lain (56).

"Pasukan operasi pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuat 60,038 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP," katanya pada kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, 2,873 pasukan pematuhan membabitkan 13,390 anggota membuat pemantauan di 3,573 pasar raya, 4,965 restoran serta 1,656 penjaja, 1,256 kilang, 3,525 bank dan 648 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau 1,118 terminal pengangkutan darat, 231 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara," katanya.

Sementara itu, menerusi Op Benteng, Ismail Sabri berkata, 32 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan dua tekong ditahan. Turut dirampas 10 kenderaan darat.

"Sejak 1 Mei hingga 24 November lalu, 8,760 pendatang asing, 798 tekong dan 360 penyeludup ditahan melalui Op Benteng.

"Orang ramai diminta menghubungi talian National Task Force (NTF) di 011 6251 1223 untuk menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing dan jenayah rentas sempadan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 5:31 PM