MUHYIDDIN menghadiri sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah
MUHYIDDIN menghadiri sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur kerana Belanjawan 2021 sudah diluluskan di peringkat dasar oleh Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, sokongan Ahli Parlimen hari ini membuktikan kematangan dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara lain.

Muhyiddin turut mengulangi penjelasan Belanjawan 2021 adalah belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara.

"Sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua terutamanya Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyokong Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 yang lulus itu membuktikan kerajaan PN amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik Covid- 19.

"Saya tersentuh dengan pendirian Ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini, sekali gus membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu ahli politik mengetepikan sementara politiking bagi membolehkan belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan yang bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, penambahbaikan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 ini dijalankan.

"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan.

"Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:17 PM