ANGGOTA keselamatan mengawal laluan masuk di kawasan Putra Point berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Arkib NSTP
ANGGOTA keselamatan mengawal laluan masuk di kawasan Putra Point berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Bukan rakyat tempatan sebaliknya kes peningkatan jangkitan Covid-19 di Negeri Sembilan berpunca dari kalangan pekerja warga asing yang bekerja dalam sektor perindustrian dan perkilangan di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri tidak boleh menafikan bahawa sebahagian besar daripada sumber manusia terbabit dalam kedua-dua sektor itu datangnya daripada kelompok bukan warganegara ini.

Katanya, kerajaan negeri melalui mekanisme Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas Covid-19 sudah melaksana dan mengaktifkan pelbagai inisiatif strategik serta langkah-langkah kawalan bagi membendung penularan wabak berkenaan.

"Apabila berlakunya penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing, kita mengambil pelbagai mekanisme dalam mengawal dan membendung penularan wabak itu.

"Setakat ini ia menampakkan hasil yang berkesan apabila beberapa kluster membabitkan pekerja warga asing seperti Kluster Kaya dan Kluster Cergas dapat dikawal," katanya tadi.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan rakyat negeri ini selepas Negeri Sembilan mencatatkan kes positif baharu yang tertinggi kelmarin, iaitu 318 kes mengatasi Sabah (293) dan Selangor (115).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan peningkatan kes di Negeri Sembilan dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Bakti yang merekodkan sebanyak 301 kes.

Aminuddin berkata, kebanyakan daripada pekerja asing yang kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai, sudah melalui proses saringan ketiga dan sebahagian besar daripada mereka disahkan negatif.

"Saya yakin PKPD di Putra Point Nilai ini boleh ditamatkan menjelang 30 November nanti.

"Bagi meningkatkan lagi keberkesanan dan kawalan pencegahan di bawah PKPD Putra Point Nilai ini, aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan akan dipergiatkan oleh agensi penguatkuasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 7:14 PM