DADAH yang dirampas di kawasan Padang Sanai, semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DADAH yang dirampas di kawasan Padang Sanai, semalam. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Dua lelaki Thailand ditahan di kawasan Padang Sanai, dekat sini, semalam, ketika cuba membawa dadah berasaskan heroin seberat lebih 100 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM10 juta masuk ke negara ini.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu berasal dari Pattani, Thailand, dipercayai menjadi penghantar untuk membawa dadah berkenaan masuk ke negara ini.

"Mereka ditahan kira-kira jam 8 malam ketika memandu kenderaan jenis Proton Wira Aeroback dan membawa 100kg dadah berkenaan.

"Suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya ketika dihubungi.

Satu sidang media berkaitan operasi dan tangkapan dadah berkenaan akan diadakan Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 9:31 PM