NORAZMI Majid mempamerkan surat mengenai kelulusan lesen perahu Jabatan Perikanan di Pengkalan Balak. FOTO HASSAN OMAR
NORAZMI Majid mempamerkan surat mengenai kelulusan lesen perahu Jabatan Perikanan di Pengkalan Balak. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Alor Gajah: Sebelum ini nasib 30 nelayan di Melaka terumbang ambing kerana tidak memiliki lesen perahu dan terpaksa menangkap ikan dalam keadaan berjaga-jaga bimbang ditahan Jabatan Perikanan atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),

Namun kini selepas lebih 10 tahun ia berakhir kerana mereka diberikan peluang untuk memiliki lesen itu dan boleh menangkap ikan tanpa perlu bersembunyi.

Sehubungan itu mereka mengucapkan syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Jabatan Perikanan kerana mendengar rintihan mereka sejak sekian lama.

Norazmi Abdul Majid, 51, berkata dia terkejut apabila menerima surat daripada jabatan itu yang memintanya hadir di Pejabat Perikanan Daerah Alor Gajah untuk mengambil lesen itu.

"Berdasarkan surat itu, lesen itu diistilahkan sebagai Lesen Sampan Khas Negeri Melaka yang diluluskan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan di Putrajaya.

"Alhamdulillah, jika sebelum ini saya dan nelayan lain terpaksa menyorok menangkap ikan, sekarang kami sudah boleh berbuat demikian dengan bebas," katanya ketika ditemui di Balai Nelayan Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, hari ini.

Abdul Rahim Azali, 34, berkata beliau dan 29 nelayan lain disyaratkan supaya mengecat badan perahu dengan warna ungu, selain memastikan mengecat nombor perahu secara jelas di sebelah kanan dan kiri hadapan perahu.

"Sudah lebih 10 tahun saya menanti dan sudah puas membuat rayuan dan Alhamdulillah kali ini kami dimurahkan rezeki," katanya di pangkalan nelayan Pengkalan Balak.

"Dengan adanya lesen perahu, saya tidak perlu lagi bimbang setiap kali turun ke laut," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Solehon berkata, penganugerahan lesen itu diluluskan Ibu Pejabat Jabatan Perikanan di Putrajaya selepas meneliti rayuan nelayan terbabit.

"Jabatan Perikanan akan meneliti permohonan nelayan untuk mendapatkan lesen perahu dari semasa ke semasa berdasarkan stok sumber perikanan di perairan negeri ini.

"Penganugerahan lesen berkenaan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa meneliti stok sumber perikanan yang dibimbangi pupus jika jumlah nelayan terlalu ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 12:36 PM