Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Lelaki sanggup meredah banjir lima kilometer (km) menaiki perahu bagi mencerut rumput untuk memberi makan kepada lembu ternakanya di Kampung Lanchang, di sini.

Tuan Hanif Wan Adam, 40, berulang-alik dua kali sehari mencari rumput di kawasan padang belakamg rumahnya dengan mengharungi air setiggi dua sehingga tiga meter.

Katanya, dia perlu berbuat demikian apabila kampungnya mula dinaiki air akibat hujan lebat sejak tiga hari lalu selain penempatan itu antara yang paling awal dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh.

"Sebenarnya, ini menjadi rutin harian saya setiap tahun kerana bimbang lapan ekor lembu ternakan saya mati akibat kelaparan. Malah ia pernah terjadi ketika banjir sebelum ini yang mengakibatkan saya kerugian ribuan ringgit.

"Saya turun mencerut rumput seorang diri sekitar 8 pagi untuk fasa pertama dan kembali meredah banjir pada 3 petang bagi memastikan ternakan saya tidak kelaparan.

"Tiada rasa gentar atau takut dalam diri saya untuk mengemudi perahu sejauh itu kerana saya sudah biasa selain mahir mengawal perahu sejak kecil lagi dan apa yang penting ternakan saya tidak kelaparan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampaung Lanchang, di sini, hari ini.

TUAN Hanif berulang alik dua kali sehari mencari rumput untuk lembu ternakanya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TUAN Hanif berulang alik dua kali sehari mencari rumput untuk lembu ternakanya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tuan Hanif berkata, biasanya ternakan miliknya boleh mencari makanan sendiri, tetapi bila banjir melanda habis semua rumput dan kawasan biasa lembu dilepaskan ditenggelami air.

"Malah kesemua lembu ini saya pindahkan ke kawasan selamat. Selain itu, rumah saya sendiri dibanjiri air setinggi 1.5 meter menyebabkan kami sekeluarga terpaksa menjadikan bot dan perahu sebagai kenderaan utama.

"Alhamdulillah, setakat ini, belum pernah terjadi perkara tidak diingini seperti perahu terbalik ketika mencerut rumput kerana saya juga mementingkan aspek keselamatan diri walaupun sudah biasa dengan situasi ini," katanya.

Hasil tinjauan, selain Kampung Lanchang, terdapat juga beberapa penempatan lain yang dinaiki air separas satu sehingga dua meter seperti Kampung Bongor dan Kampung Jejawi, di sini.

Menurut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 11 pagi tadi, paras Sungai Golok mencatatkan bacaan 7.86, menghampiri tahap amaran iaitu lapan meter.

TUAN Hanif memberi rumput kepada lembunya selepas meredah banjir menaiki perahu bagi mencerut rumput. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TUAN Hanif memberi rumput kepada lembunya selepas meredah banjir menaiki perahu bagi mencerut rumput. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 12:39 PM