Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk di Kampung Bongor dan Kampung Lanchang, di sini, menjadikan perahu sebagai pengangkutan utama selepas penempatan mereka mula dinaiki air separas dua hingga tiga meter sejak tiga hari lalu.

Tinjauan hari ini mendapati, penempatan di dua kampung terbabit bagaikan dipenuhi 'rumah terapung' dengan perahu serta bot ligat meredah banjir dengan tujuan dan ke destinasi masing-masing.

Penduduk, Wan Abdullah Wan Adam, 48, berkata hampir setiap penduduk di kampung terbabit memiliki sekurang-kurangnya sebuah perahu atau bot bagi setiap rumah sebagai pengangkutan utama di musim tengkujuh.

"Saya terpaksa mengemudi perahu sejauh 500 meter untuk ke tempat tidak dinaiki air sebelum keluar membeli barangan dapur serta keperluan lain.

"Kereta serta motosikal penduduk siap sedia diparkir di tempat selamat kerana bimbang ditenggelami air. Selepas meredah banjir menggunakan perahu, barulah saya memandu kereta ke pekan Rantau Panjang sejauh lima kilometer (km) untuk membeli barang.

WAN Abdullah (kanan) bersama keluarganya menaiki perahu atau bot sebagai pengangkutan utama di musim tengkujuh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
WAN Abdullah (kanan) bersama keluarganya menaiki perahu atau bot sebagai pengangkutan utama di musim tengkujuh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Sebenarnya situasi sebegini tidak asing lagi bagi kami kerana hampir setiap tahun penempatan ini dinaiki air setiap kali musim tengkujuh," katanya ketika ditemui di Kampung Lanchang, di sini, hari ini.

Wan Abdullah yang juga bapa kepada enam cahaya mata berusia 12 sehingga 23 tahun berkata, penduduk kampung itu tidak melepaskan peluang untuk menjala serta memukat ikan pada musim banjir.

Sementara itu, Zamilah Muda, 45, berkata dia tidak gentar mengemudi perahu mengharungi banjir separas dua hingga tiga meter kerana sudah biasa melakukannya sejak kecil lagi.

"Jika suami saya tiada di rumah, saya akan mengemudi perahu sejauh satu kilometer untuk tempat parkir kereta sebelum keluar ke pekan berdekatan.

"Walaupun tahu berenang selain mahir mengemudi perahu, saya tetap mengambil langkah berjaga-jaga atau membawa adik beradik sebagai peneman bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 3:48 PM