ABD Jalil melihat motosikal Skuad Aman Wanita (Amanita) selepas majlis penutup Kursus Pengendalian Motosikal Ringan Kelas B2 bagi Amanita Kontinjen Pahang Siri1/2020 di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia  (PDRM), Alor Akar, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
ABD Jalil melihat motosikal Skuad Aman Wanita (Amanita) selepas majlis penutup Kursus Pengendalian Motosikal Ringan Kelas B2 bagi Amanita Kontinjen Pahang Siri1/2020 di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Alor Akar, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 49 kenderaan diarah berpatah balik selepas cuba masuk ke Pahang tanpa memiliki surat kebenaran merentas negeri, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, arahan berpatah balik itu untuk memastikan menyekat penularan wabak Covid-19 di Pahang.

Beliau berkata, kebenaran merentas negeri hanya diberikan selepas pemilik kenderaan menunjukkan surat kebenaran dan mematuhi syarat ditetapkan.

"Kita bertegas untuk tidak membenarkan individu dari zon merah memasuki Pahang kerana negeri ini masih berada di zon hijau.

"Sebab itu kita mengarahkan 49 kenderaan berpatah balik dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Pengendalian Motosikal Ringan Kelas B2 bagi Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Pahang Siri 1/2020 di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Alor Akar, di sini, hari ini.

Abd Jalil berkata, bagi menyekat penularan wabak Covid-19 di negeri itu, polis Pahang mempertingkatkan sekatan bukan sahaja di sempadan negeri, malah lorong tikus dengan melakukan pemantauan sepanjang 24 jam.

Katanya, dengan mempertingkatkan sekatan itu, pihaknya percaya kes penularan wabak ini dapat disekat terutama mereka yang datang dari zon merah.

"Antara tumpuan ialah di sempadan Pahang iaitu Rompin-Mersing, Johor; Kuantan-Kemaman, Terengganu; Bera-Jempol, Negeri Sembilan; Cameron Highlands-Tapah, Perak serta Bentong-Gombak dari Lembah Klang.

"Kita mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 3:54 PM