RAJA MOHAMMAD HAZIQ RAJA JAAFAR
RAJA MOHAMMAD HAZIQ RAJA JAAFAR
Omar Ahmad


Johor Bahru: Rakyat Malaysia di Singapura menyambut baik usaha dilakukan kerajaan negeri yang mahu menghantar bakul makanan kepada mereka yang terkandas di republik itu.

Penghantar barangan sebuah syarikat minuman, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, berkata, ia inisiatif murni untuk mengurangkan beban rakyat Malaysia di Singapura terutama kepada mereka yang menjadi gelandangan.

Shahruddin Haeal Helmy berharap, bakul makanan itu dapat diberikan kepada golongan sasar dan yang betul-betul memerlukan.

"Saya gembira dan bersyukur kerana banyak pihak sudah mula buka mata dan membantu kami di sini (Singapura).

"Namun saya merasakan bantuan itu perlu diberikan kepada golongan sasar sahaja. Bantuan perlulah adil kerana di Malaysia juga, ada gelandangan dan mereka juga perlu bantuan.

"Gelandangan di sini, mereka masih bekerja cuma tiada tempat tidur, jadi biarlah bantuan berpatutan dan memadai bagi yang perlu dan gelandangan sahaja," katanya dihubungi.

Menurut Shahruddin Haeal Helmy, dia juga berharap supaya sumbangan makanan diberi itu tahan lama seperti mi segera.

Ini kerana, katanya, sekiranya bantuan itu adalah untuk semua pekerja Malaysia di Singapura, tidak semua penginapan dibenarkan memasak.

"Pemberian dalam bentuk baucer juga boleh dipertimbangkan kerana kami boleh membeli barangan diperlukan selain makanan.

"Saya menyokong penuh usaha kerajaan negeri Johor yang cuba membantu, sekurang-kurangnya ada inisiatif untuk membantu dan ini adalah permulaan. Mungkin boleh ditambah baik di masa hadapan," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Johor 2021 kelmarin, kerajaan negeri akan menghantar bakul makanan kepada rakyat Johor dan Malaysia yang terkandas di Singapura melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Southern Volunteers.

Sementara itu, juruteknik proses, Raja Mohammad Haziq Raja Jaafar, 26, turut menyambut baik usaha itu.

Namun katanya, bantuan lebih relevan sekiranya disalurkan dalam bentuk tunai berdasarkan matawang Singapura.

"Pada saya, lebih baik sumbang dalam bentuk tunai kerana kita boleh membeli makanan, membayar tol, petrol selain sewa rumah.

"Di sini, tidak semua bilik atau rumah sewa dibenarkan memasak. Jadi kalau beri bakul makanan perlu beri makanan yang tidak perlu dimasak atau mudah dimasak seperti biskut, bijiran atau barang kering.

"Lebih senang beri tunai, jadi kita boleh anggar perbelanjaan diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 4:04 PM