GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya di sini, disahkan positif Covid-19.

Pengarah JBPM Johor Datuk Yahaya Madis berkata, anggota itu mendapat jangkitan daripada ibu mentuanya yang tinggal bersamanya daripada Kluster Kobena.

"Di atas nasihat dan arahan Jabatan Kesihatan Daerah, semua anggota BBP Johor Jaya perlu menjalani kuarantin di rumah.

"Operasi di BBP Johor Jaya masih berjalan seperti biasa, selain kawasan peralatan di balai bomba sudah dibuat sanitasi," katanya pada kenyataan hari ini.

Yahya berkata, anggota di balai bomba berhampiran sudah disusun untuk bertugas di BBP Johor Jaya.

"JBPM sentiasa menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di balai bomba dan tempat operasi," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, tiada anggota bomba JBPM Johor yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja.

"Sehingga hari ini, tiga anggota JBPM Johor yang dijangkiti Covid-19 mendapat jangkitan di tempat tinggal mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 4:11 PM