GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Padang Besar: Polis Perlis akan melaksanakan Op Tutup yang menumpukan kawalan keselamatan di sekitar kawasan Felda Mata Ayer dan Felcra Lubok Sireh.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, penumpuan kawalan keselamatan dilakukan ke atas dua kawasan terbabit adalah kerana faktor geografinya yang berdekatan dengan sempadan bagi mengelakkan sebarang insiden serangan berulang kembali.

Katanya, selain itu kawasan terbabit dilihat menjadi tumpuan penyeludup menjalankan aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.

"Pihak polis juga akan melaksanakan kawalan keselamatan secara menyeluruh di sekitar kawasan Padang Besar.

"Ini termasuk sekatan jalan raya (SJR) tidak kekal akan turut dilakukan di pekan Padang Besar dalam usaha mencari saki baki kumpulan penyeludup yang terbabit dalam serangan tembakan terhadap anggota keselamatan.

"Manakala Op Tutup pula akan menyaksikan kawalan keselamatan secara bertumpu pada kawasan yang saya sebutkan sebagai berhampiran dengan sempadan negara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Surina mengesahkan 13 suspek yang terbabit dalam kejadian serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) adalah warga Thailand.

"Penahanan warga Malaysia adalah untuk membantu siasatan dengan diambil keterangan mereka.

"Malah maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Thailand juga mengesahkan bahawa 13 warganya yang terbabit dalam insiden ini dengan sebahagian daripadanya sudah ditahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 4:16 PM