ANTARA 13 individu termasuk sembilan anggota Jabatan Imigresen Malaysia dikenakan perintah reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, atas kesalahan dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan cap sempadan negara pada 17 November lalu. FOTO BERNAMA
ANTARA 13 individu termasuk sembilan anggota Jabatan Imigresen Malaysia dikenakan perintah reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, atas kesalahan dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan cap sempadan negara pada 17 November lalu. FOTO BERNAMA

Johor Bahru: Kesemua sembilan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor yang ditahan pada 16 November lalu berkaitan siasatan pemalsuan cap sempadan dijangka dibebaskan dengan jaminan SPRM esok.

Bagaimanapun, sumber kepada Harian Metro berkata, empat individu yang dipercayai bertindak sebagai ejen dikatakan akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

SOSMA adalah satu peruntukan undang-undang melalui langkah-langkah khas berhubung dengan kesalahan keselamatan.

Akta ini membenarkan polis untuk menahan suspek untuk tempoh sehingga 28 hari.

Kesemua 13 individu termasuk empat orang awam itu ditahan pada Ops Selat dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama JIM Putrajaya, 16 November lalu.

Sembilan anggota JIM ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar Johor.

Dua orang awam pula di tahan di Johor Bahru dan masing-masing seorang di Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang pada hari yang sama.

Pada 17 November lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan permohonan reman ke atas mereka selama tujuh hari.

Perintah reman kemudian dilanjutkan pada Isnin lalu bagi tempoh lima hari lagi yang berakhir esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 4:28 PM