GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerja, termasuk pemandu dan kelindan lori, sebuah syarikat di bawah Kluster Gemilang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, Kluster Gemilang sudah mencatatkan 26 kes positif Covid-19 setakat ini.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu membabitkan seorang pekerja sebuah syarikat logistik di Johor Bahru, yang disahkan positif Covid-19 pada 22 November lalu.

Ia hasil saringan kemasukan di hospital swasta, ekoran pesakit mengalami gejala sukar untuk bernafas.

"Susulan itu, hasil saringan kontak rapat mendapati, 25 rakan sekerjanya positif Covid-19 dan kesemua kes terbabit sudah dimasukkan ke hospital.

"Sehingga jam 12 tengah hari semalam, 95 kontak rapat sudah disaring dengan 26 kes positif Covid-19 setakat ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mereka terdiri daripada tujuh warganegara dan 19 bukan warganegara.

Seramai 65 individu masih lagi menunggu keputusan.

"Susulan bilangan kes yang tinggi, JKNJ menjalankan ujian besar-besaran ke atas pekerja syarikat terbabit semalam. Pekerja terbabit dikenakan 'Home Surveillance Order' (HSO) bagi mengawal pergerakan.

"JKNJ masih lagi menjalankan siasatan lanjut untuk memastikan pengesanan kontak.

"Memandangkan syarikat terbabit mempunyai hubung kait dengan pelbagai industri di daerah ini, kami menasihati mereka yang terbabit melaksanakan saringan Covid-19 terhadap pekerja sebagai prosedur pencegahan," katanya.

Menurut Vidyananthan, kes tertinggi dilaporkan di daerah Batu Pahat yang mana daripada 30 kes baharu, 27 kes membabitkan Kluster Batu 7, masing-masing satu kes hasil saringan kontak rapat dan hasil saringan gejala.

Katanya, sehingga semalam, 12 kluster aktif di Johor.

Ia antaranya membabitkan Kluster Gemilang (Mukim Tebrau), Kluster Tanjung Bunga (Mukim Plentong), Kluster Batu 7 (Mukim Linau), Kluster Kobena (Mukim Tebrau), Kluster Kota Kecil (Mukim Kota Tinggi) dan Kluster Makmur (Mukim Kulai).

Kluster lain ialah Kluster Kiambang (Mukim Tenggaroh), Kluster Parit Kassan (Mukim Grisek), Kluster Jeri (Mukim Sedili Besar), Kluster Meldrum (Mukim Sungai Tiram), Kluster Kempas (Mukim Tebrau) dan Kluster Padang (Mukim Ulu Sungai Johor).

"Pengesanan kontak rapat dan ujian saringan Covid-19 masih giat dijalankan pejabat kesihatan daerah berkaitan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 4:38 PM