PENDUDUK Kampung Air Putih dipindahkan ke PPS Dewan Sivik kampung berkenaan selepas kampung Kampung Air Putih ditenggelami air lebih satu meter. FOTO Ihsan penduduk
PENDUDUK Kampung Air Putih dipindahkan ke PPS Dewan Sivik kampung berkenaan selepas kampung Kampung Air Putih ditenggelami air lebih satu meter. FOTO Ihsan penduduk
Zaid Salim

Chukai: Sembilan bayi membabitkan lima lelaki dan empat perempuan antara 246 penduduk Kampung Air Putih, di sini, yang dipindahkan selepas kampung berkenaan ditenggelami air lebih satu meter, hari ini.

Semua mangsa dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sivik Kampung Air Putih yang dibuka pada 9.55 pagi.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Syamsul Yusof berkata, kawasan itu ditenggelami air selepas hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan air Sungai Kemaman melimpah.

"Air naik dengan cepat manakala arus pula deras dan penduduk mengambil langkah berpindah awal kerana bimbang terperangkap.

"Mereka mengharung ketika air berada pada paras lutut (0.3 meter) pada 9 pagi dan ketika ini, sebahagian besar kampung ini sudah menjadi pulau dan paras air semakin naik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syamsul berkata, melihat keadaan air, dia bimbang banjir besar 2013 dan 2014 berulang apabila ketika itu ada penduduk kehilangan rumah selepas dihanyutkan air.

Beliau berkata, banjir turut menjejaskan kampung bersebelahan sungai iaitu Kampung Teladas apabila ada kediaman di kawasan rendah ditenggelami air dan nampak bumbung sahaja.

Mangsa banjir, Mahani Mat Zin, 57, berkata, pengalaman banjir pada 2013 dan 2014 masih menghantui fikirannya apabila beberapa rumah jiran dihanyutkan arus deras.

"Saya berdoa supaya tahun ini banjir tidak seteruk itu kerana rumah saya terletak dekat dengan sungai dan pengalaman ketika itu sangat menakutkan.

"Bagi mengelak terperangkap, saya mengambil keputusan berpindah awal bersama anak lelaki, Farhan Azwa Alias, 29, ke rumah anak yang terletak di kawasan tinggi selepas mendapati air sungai mula melimpah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 4:44 PM