JABATAN Kebajikan Masyarakat sedang membuat pembahagian bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai. FOTO Nurul Amanina Suhaini
JABATAN Kebajikan Masyarakat sedang membuat pembahagian bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini

Kulai: Penduduk Kampung Sri Gunung Pulai di sini, mula menerima bantuan bekalan makanan susulan terdapat kes positif Covid-19, selain pergerakan keluar masuk di kawasan berkenaan terhad.

Tinjauan di kampung itu mendapati, anggota polis turut membuat pemeriksaan di pintu masuk kampung, selain kakitangan agensi kerajaan melakukan pembahagian bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk.

Penghulu Mukim Kulai Omar Parbi berkata, pergerakan keluar masuk hanya dibenarkan kepada penduduk yang tidak dipakaikan gelang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjalankan rutin harian.

"Sekatannya masih ada. Penduduk yang tiada gelang, boleh keluar pergi beli barang, boleh bekerja.

"Di sini ada dua kedai runcit, tapi tidak beroperasi. Penduduk pula secara keseluruhannya ada seramai 663 orang membabitkan 164 rumah. Penduduk perlu pergi ke gerai yang paling hampir iaitu di Kampung Melayu Raya, sekitar dua kilometer dari sini.

"Bagaimanapun, keperluan makanan sudah dipenuhi sejak awal pagi tadi, antaranya daripada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu dan agensi kerajaan," katanya ditemui.

Omar berkata, tiada pelawat dibenarkan mengunjungi Hutan Lipur Gunung Pulai yang terletak di kampung itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi ketika melawat kampung berkenaan berkata, hanya empat jemaah dibenarkan menggunakan Masjid As'syakirin bermula hari ini.

"Penggunaan masjid ini ditutup buat orang awam, hanya empat jemaah sahaja dibenarkan menggunakannya iaitu imam, bilal dan dua makmum bagi solat lima waktu.

"Bagi mana-mana kawasan berisiko tinggi, itulah prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan iaitu tidak lebih daripada empat jemaah.

"Bagi solat Jumaat minggu depan, kita akan tengok keadaan terkini terlebih dahulu sebelum pejabat kadi keluarkan arahan baharu," katanya.

Tosrin berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menyampaikan bantuan bantuan makanan bernilai RM100 setiap keluarga pada esok, manakala Yayasan Sejahtera Kulai akan menyampaikan bantuan seumpamanya pada Isnin depan.

Terdahulu, tular mesej di laman aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook (FB) sejak semalam, yang mendakwa kawasan berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan terdapat kes positif Covid-19 di kampung itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 6:59 PM