MUHYIDDIN ketika sidang media maya di pejabatnya hari ini. FOTO BERNAMA
MUHYIDDIN ketika sidang media maya di pejabatnya hari ini. FOTO BERNAMA
Zanariah Abd Mutalib


Putrajaya: Malaysia akan memulakan satu kajian klinikal fasa tiga vaksin Covid-19 di negara ini pada bulan depan menerusi inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama China.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin, berkata vaksin berkenaan dibangunkan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS), yang mana kajian klinikal mengenainya akan membabitkan 3,000 peserta bagi menilai keselamatan serta keberkesanannya.

"Kajian ini dikendalikan Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan sudah pun didaftarkan di dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional (NMRR).

"Profil keselamatan vaksin akan diteliti terlebih dahulu oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)untuk memperoleh Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dan protokol kajian akan dikaji Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan (MREC) bagi memastikan kajian yang akan dijalankan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan secara sidang video di Perdana Putra di sini, tadi. Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Muhyiddin memaklumkan, kajian klinikal fasa tiga ini juga akan membabitkan lapan pusat penyelidikan klinikal di bawah seliaan KKM.

"Kerajaan ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IMBCAMS yang akan berkolaborasi untuk menjalankan kajian klinikal fasa tiga ini di Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai masa depan Malaysia dalam meneroka bidang pembangunan vaksin, Muhyiddin berkata, penularan wabak Covid-19 memberi pengajaran mengenai pentingnya untuk negara mampu mengeluarkan vaksin sendiri, bukan hanya bagi Covid-19 tetapi juga penyakit lain.

"Tidak menjadi masalah untuk kita bekerjasama dalam pembangunan vaksin di peringkat awal. Jika ada mana-mana badan atau syarikat yang mahu mencari rakan kongsi bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan, itu satu usaha yang kita galakkan.

"Memang ada beberapa bentuk insentif untuk syarikat ini dan kita harap Malaysia bukan hanya akan menjadi pengguna tetapi juga pengeluar vaksin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:14 PM