Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sekumpulan lelaki termasuk seorang lelaki menggelarkan dirinya sebagai 'Datuk' yang terbabit dalam pergaduhan di sebuah pub di Jalan Puchong, di sini, kelmarin, dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada pemilik premis berkenaan yang memaklumkan diperas ugut kumpulan terbabit.

"Hasil siasatan awal mendapati sekumpulan lelaki berkenaan dipercayai ahli kumpulan Geng 18 Batu 14 Puchong.

"Menurut pemilik premis terbabit, kumpulan berkenaan ada meminta bayaran wang perlindungan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

"Kami sedang menjalankan siasatan berkaitan kumpulan ini serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, seorang lelaki bergelar Datuk yang ditahan dalam kejadian itu difahamkan menggunakan gelaran berkenaan sebagai nama panggilan sahaja.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan 19 individu termasuk seorang daripadanya dipercayai bergelar Datuk ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pergaduhan di sebuah pub di Jalan Puchong, di sini, kelmarin.

Malah, dua daripada 19 individu ditahan adalah seorang wanita serta seorang koperal polis yang turut dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Sebelum ini, satu hantaran berserta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 24 saat menunjukkan pergaduhan di antara sekumpulan lelaki tular di media sosial, hari ini.

Hantaran di media sosial itu juga mendakwa seorang lelaki dipercayai Datuk memukul seorang anggota polis dalam kejadian itu.

Berita berkaitan

  • Datuk ditahan bergaduh di pub
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 8:38 PM