Antara sampah sarap yang ditemui DBKL di Taman Million, Jalan Ipoh, yang dilanda banjir kilat semalam. FOTO ihsan DBKL
Antara sampah sarap yang ditemui DBKL di Taman Million, Jalan Ipoh, yang dilanda banjir kilat semalam. FOTO ihsan DBKL
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Bukan hanya sampah kecil seperti tisu, plastik dan puntung rokok, malah sebesar-besar rangka motor pun dibuang merata-rata!

Itu penemuan mengejutkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika melakukan kerja pembersihan di Taman Million, Jalan Ipoh, yang dilanda banjir kilat semalam.

Jurucakap DBKL berkata, pihaknya tidak menolak sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak membuang sampah merata-rata seperti itu menjadi punca banjir kilat kerap berlaku di ibu negara.

"Sebenarnya setiap hari kontraktor kita memang membuat kerja pembersihan.

"Kadangkala kita di atas ini tidak nampak apa yang ada di bawah sana (longkang).

"Lihatlah, sampah sarap berjumlah lima tan semalam itu satu contoh yang kita jumpa di longkang bertutup di bawah (tanah) hingga menjadi salah satu punca banjir kilat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos tinggi termasuk penggunaan tenaga kerja dan jentera untuk menyelesaikan masalah yang sepatutnya boleh dielakkan jika orang ramai mempunyai nilai kesedaran menjaga kebersihan alam sekitar.

"Kita hendak beritahu orang ramai jangan buang sampah sesuka hati atau anggap sampah kecil seperti tisu atau puntung rokok itu remeh kerana lama kelamaan ia menjadi musibah besar.

"Lihatlah inilah kesannya (banjir kilat) apabila sampah sarap berkumpul terutama ketika hujan lebat.

"Kita harap orang ramai tidak memandang remeh isu ini marilah menjaga kebersihan bandar raya kita kerana kealpaaan kita mungkin akan mengakibatkan bencana lebih buruk berlaku," katanya.

Dalam satu hantaran di Facebook rasmi semalam, DBKL mendedahkan mereka mengeluarkan lima tan sampah sarap termasuk rangka motosikal di Taman Million, Jalan Ipoh.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan peruntukan RM150 juta disalurkan bagi melaksanakan projek tebatan banjir dan menaik taraf sistem perparitan bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 8:40 PM