Zaid Salim


Chukai: Bayi lelaki berusia tujuh hari menjadi mangsa banjir termuda yang dipindahkan di negeri ini selepas kediaman keluarganya di Kampung Air Putih di sini, dinaiki air.

Ibu bayi terbabit, Noratiqah Najwa Zaniza, 21, berkata, dia bernasib baik kerana berada bersama anaknya, Ahmad Faiq Arsyad Ahmad Fahmi di Klinik Kesihatan Air Putih untuk membuat pemeriksaan kesihatan ketika air naik.

Menurutnya, dia ke klinik yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah bersama ibunya, Samsuriati Jaafar, 42, pada 9 pagi.

"Ketika keluar, keadaan masih seperti biasa dan langsung tidak ada tanda-tanda air akan naik, namun terkejut apabila beberapa minit kemudian apabila abang (Muhammad Azwa Hisham, 23) beritahu rumah dinaiki air.

"Dia (abang) minta saya bersama ibu serta bayi terus ke sini," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sivik, Kampung Air Putih.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya, Ahmad Fahmi Ibrahim, 27, yang bekerja ladang sedang bekerja dan kerja memindah barang dilakukan abangnya.

"Mujur abang ada ketika itu dan sempat menyelamatkan barangan keperluan bayi daripada hanyut kerana arus sangat deras.

"Abang juga membawa keluar anak sulung saya (Nurafrina Safura, 3) dan nenek (Zaharah Omar, 73) sebelum rumah dimasuk air kira-kira 0.5 meter," katanya.

Noratiqah berkata, dia tidak menyangka terpaksa berpantang di PPS tetapi bersyukur semua keluarganya selamat.

Muhammad Azwa Hisham pula berkata, dia terpaksa berulang-alik membawa anak saudara dan ibunya serta beberapa kanak-kanak lain dengan menaiki motosikal dari rumah ke PPS.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

"Air naik sangat cepat dan terpaksa membawa anak saudara dan ibu keluar rumah segera mengelak terperangkap.

"Selepas memindahkan mereka, barulah saya terfikir untuk selamatkan barangan dan sempat mengangkat mesin basuh ke tempat tinggi, manakala lain-lain barangan tidak dapat diselamatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 1:32 PM