GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Johor Bahru: Seorang pemandu dan kelindan lori maut apabila lori tiga tan dinaiki bersama seorang lagi rakan sekerja terbabas dan merempuh sebuah treler di Kilometer 158.7 Lebuhraya Plus arah utara berdekatan Bukit Gambir, Tangkak dekat sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Nurashid Mamat berkata, pemandu lori dikenali sebagai E. Gunaseelan, 31, manakala kelindannya masih belum diperoleh identiti.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori berkenaan terkeluar daripada laluannya dan memasuki laluan kecemasan lalu merempuh belakang treler Scania yang berada di tepi lebuh raya.

Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi rakan sekerja mereka yang turut tersepit cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Tangkak.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.10 pagi dan menghantar seramai 19 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dan BBP Tangkak ke tempat kejadian.

"Anggota menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara pemandu treler berkenaan yang berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 2:02 PM