Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Setiap kali hujan lebat, makcik akan simpan barangan di tempat tinggi kerana rumah pasti dimasuki air," kata Mardziah Mohamad, 77, mengenai situasi banjir kilat yang kerap melanda rumah penduduk di Kampung Baru di sini.

Mardziah yang tinggal bersendirian si rumah itu berkata, dia sudah lali dengan situasi berkenaan dan terpaksa dilaluinya apabila hujan lebat berlarutan lebih dua jam.

"Terbaru dua hari lalu, rumah dinaiki air separas buku lali. Terburuk pada September lalu apabila air naik kira-kira satu meter menyebabkan ada barangan rosak. Mujur ada jiran datang membantu alihkan barangan berharga ketika itu," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan dan sumbangan daripada Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Turut hadir Pemangku Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Mohd Fauzi Md Fadzil.

Seramai 250 mangsa banjir di Kampung Baru, Taman Maluri dan Kampung Datuk Keramat di sini, menerima bantuan kewangan RM200 setiap seorang daripada Yayasan Bank Rakyat.

Berkongsi perasaan menerima sumbangan itu, Mardziah bersyukur dan berterima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat kerana menghulurkan bantuan berkenaan.

DATUK Nazir Hussin Akhtar Hussin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada penghuni rumah yang terjejas akibat banjir di Dewan Kg. Paya, Kampung Baru, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Nazir Hussin Akhtar Hussin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada penghuni rumah yang terjejas akibat banjir di Dewan Kg. Paya, Kampung Baru, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

"Ia pasti dapat meringankan beban makcik," katanya.

Seorang lagi penerima, Mohd Esa Abd Hamid, 43, yang tinggal di Kampung Paya berkata, rumahnya juga kerap dilanda banjir kilat sejak kebelakangan ini menyebabkan keluarganya sentiasa berwaspada apabila hujan lebat.

Mohd Esa yang tinggal bersama isteri dan dua anak berkata, dia mengalami kerugian lebih RM1,000 ketika banjir kilat melanda pertengahan bulan ini.

"Kebetulan saya ada di rumah dan sempat alihkan kenderaan ke kawasan lebih tinggi. Sekarang, bila hujan hampir dua jam, air akan melimpah.

"Saya berharap kerajaan mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah banjir kilat. Saya percaya banjir berlaku disebabkan masalah perparitan dan kerja pembinaan di sini," katanya yang gembira menerima sumbangan itu.

Sementara itu, Nazir Hussin berkata, pihaknya memperuntukkan RM50,000 bagi membantu mangsa banjir untuk meringankan beban mereka.

Katanya, ia sumbangan kali kedua dihulurkan pihaknya dengan sumbangan pertama diberikan kepada 450 mangsa banjir di Hulu Langat.

"Insha Allah kita akan berusaha lebih lagi untuk mengumpul dana bagi membantu lebih banyak keluarga yang memerlukan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 3:38 PM