GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Penduduk di negeri ini diingatkan tidak mengulangi kesilapan dengan terlalu leka sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini berikutan Kedah pernah mencatat banyak kluster akibat kelalaian mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, walaupun 12 kluster di Kedah sudah tamat, namun kemunculan Kluster Bayam Indah di Sungai Seluang di daerah Kulim pada 21 November lalu perlu menjadi peringatan.

"Kluster Bayam Indah wujud daripada individu semasa perayaan Deepavali sebelum ini, sekarang kira-kira 6,000 penduduk di 1,412 rumah di Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1, Taman Kangkong 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi dan Taman Seri Limau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak semalam.

"Mereka tidak dibenarkan keluar kecuali jika ada kecemasan. Mereka juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 seperti PKPD Bersasar di Amanjaya, Sungai Petani akibat Kluster Tawar pada Ogos lalu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati, berkata rakyat tidak boleh mengambil mudah dengan berfikir mereka sudah bebas sekiranya kes positif Covid-19 di negeri ini semakin berkurangan dan hanya tertumpu di kawasan kluster sahaja.

Katanya, SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negera (MKN) perlu terus dipatuhi walaupun berada di zon hijau agar tidak tercetus kluster baharu.

Pada Rabu lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan PKPD di sembilan taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah bermula semalam hingga 10 Disember depan.

Ia berikutan terdapat 50 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti terbabit selepas KKM melaksanakan 197 ujian saringan bersasar.

Semalam pula, terdapat 25 kes baharu dicatatkan di Kedah iaitu 10 daripadanya di Sungai Seluang, Kulim manakala selebihnya di kawasan lain di daerah Kota Setar, Kulim, Kuala Muda dan Baling.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 3:50 PM