SPRM tahan reman dua individu bantu siasatan. FOTO Samadi Ahmad
SPRM tahan reman dua individu bantu siasatan. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Dua rakyat tempatan dipercayai berperanan sebagai ejen berkaitan kes sindiket pemalsuan cap sempadan di pintu masuk antarabangsa negara, direman selama tujuh hari, hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Putrajaya.

Menurut sumber, mereka sebelum ini dicari oleh SPRM menerusi kenyataan media disiarkan pada 18 dan 23 November lalu.

Kedua-dua suspek berusia 35 dan 49 tahun itu dikesan dan seterusnya ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 3 dan 5 petang semalam.

Menerusi tangkapan terbaharu itu, SPRM turut menyita sejumlah wang tunai dan beberapa pasport warga asing.

Penahanan itu menjadikan semua mereka yang ditahan dalam Ops Selat adalah 65 orang terdiri daripada 39 pegawai Jabatan Imigresen, ejen (17) dan orang awam (sembilan individu).

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 4:04 PM