Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Beberapa penduduk di Kampung Tersang di sini, mula membina titi dari rumah ke jalan utama apabila kediaman mereka dinaiki air sedalam 1.5 meter sejak semalam.

Tinjauan hari ini mendapati hampir 10 rumah yang berada di tepi jalan utama dibina titi bagi memudahkan mereka merentasi air banjir, malah penduduk mengakui situasi itu berlaku hampir setiap tahun apabila bah melanda.

Turut kelihatan kanak-kanak dan golongan tua meniti di atas papan dan kayu terbabit yang sudah dibina rapi sebelum air banjir melimpahi ruang hadapan rumah mereka.

Seorang penduduk, Wan Rohani Wan Salleh, 44, berkata, rumahnya sudah dibina titi sejak awal pagi semalam selepas melihat keadaan hujan lebat selain air mula melimpahi kawasan rumah.

Menurutnya, suaminya, Mohd Huraini Mohamad, 48, menyiapkan titi dalam masa tiga jam menggunakan kayu terbuang yang memang sudah disimpan awal sebagai persiapan ketika banjir.

"Titi ini banyak memberi kemudahan buat kami sekeluarga, tambahan pula saya tidak tahu mengendalikan perahu kerana air di hadapan rumah kami sudah tidak selamat untuk diredah.

BEBERAPA penduduk di Kampung Tersang, di sini, mula membina titi bagi memudahkan mereka merentasi air banjir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
BEBERAPA penduduk di Kampung Tersang, di sini, mula membina titi bagi memudahkan mereka merentasi air banjir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Sebenarnya titi ini biasa digunakan dalam masa seminggu sahaja sehinggalah air menjadi lebih tinggi dan kami terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tambahan pula rumah kami awal dinaiki air kerana kawasan yang rendah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersang di sini, hari ini.

Sementara itu, Ramlah Mohamad, 61, berkata, awal pagi hari ini dia terjatuh dari titi di hadapan rumahnya kerana binaan yang tidak terlalu kukuh, namun bernasib baik tiada sebarang kecederaan berlaku.

"Sebenarnya, situasi begini kerap kali berlaku tapi bernasib baik terjadi ketika air tidaklah di paras bahaya.

Namun, ia sudah dibaiki oleh anak saya memandangkan hanya titi terbabit penyambung rumah ke jalan utama.

"Titi ini biasa dibina lebih awal sebelum air melimpahi kawasan rumah penduduk di sini kerana kayu perlu dipacak dalam ke tanah agar lebih kukuh dan selamat untuk dilalui sebelum diletakkan papan.

"Kebanyakan golongan lelaki di sini, ada pengalaman bekerja sebagai buruh atau tukang rumah, jadi tiada masalah untuk mereka siapkan titi dalam masa yang singkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 4:12 PM