KEADAAN banjir kilat di khemah saringan Covid-19 dan saringan kecemasan di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kulim petang tadi. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN banjir kilat di khemah saringan Covid-19 dan saringan kecemasan di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kulim petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Beberapa khemah sementara saringan Covid-19 dan saringan kecemasan di bahagian hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kulim, dekat sini, dilimpahi air kira-kira jam 5 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kejadian berpunca daripada masalah perparitan di bahagian parkir berdekatan khemah terbabit.

"Hujan lebat petang tadi menyebabkan air mengalir dari kawasan parkir.

"Sebelum ini, pihak Hospital Kulim sudah memohon memperbesarkan longkang di tempat parkir berkenaan. Saya juga sudah bangkitkan perkara ini kepada pihak atasan dan sedang menunggu tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, peralatan yang bernilai tinggi di dalam khemah terbabit dapat dialihkan ke tempat selamat hasil tindakan pantas pihak hospital.

"Saya berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JKN dapat melihat keutamaan longkang di tempat parkir berkenaan bagi mengelak kejadian berulang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, banjir kilat yang berlaku di Hospital Kulim sudah surut pada jam 6 petang tadi.

"Kawasan terbabit adalah kawasan saringan kecemasan dan kawasan saringan Covid-19. Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan dan kerja pembersihan sedang dilakukan.

"Selepas pembersihan dilakukan, kawasan berkenaan boleh digunakan semula dan kita tiada masalah untuk menerima pesakit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 9:36 PM