GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Seorang konstabel polis wanita cedera di jari kelingking kaki kiri akibat terkena tembakan tanpa sengaja oleh rakan setugasnya yang juga polis wanita, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 1.50 tengah hari di kaunter Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika anggota polis wanita berusia 25 tahun itu dikatakan melepaskan satu das tembakan tanpa sengaja ketika pemeriksaan mengosongkan senjata dilakukan.

"Ketika itu, anggota polis wanita berusia 31 tahun yang juga rakan sejawatnya sedang berada di kaunter aduan.

"Sewaktu kejadian, mangsa berada di hadapan rakannya kira-kira tiga meter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, selepas terkena tembakan itu, mangsa menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Beliau berkata, setakat ini keadaan mangsa dilaporkan stabil dan hanya mengalami kecederaan di jari kelingking kaki kiri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 10:17 PM