GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kira-kira 4,500 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selama lapan hari mulai semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong memaklumkan, enam kawasan di Kampung Cherul 4, Neram, Kampung Jenang 5, di Perasing dan Sungai Pergam 6, Hulu Jabor, Kemaman, akan mengalami tekanan air rendah atau terputus bekalan air.

Jelasnya, gangguan bekalan air berpunca dari pam penyedut di Sungai Cherul, Kemaman, ditenggelami air yang bermula semalam dijangka pulih sepenuhnya Sabtu depan.

"SATU akan menggerakkan bantuan bekalan air termasuk penghantaran menggunakan lori tangki ke kawasan berkenaan.

"Kita juga sudah meletakkan tangki statik di beberapa di lokasi di kawasan berkenaan untuk memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air, " katanya melalui kenyataan hari ini.

Ir Atemin mengesahkan, gangguan bekalan air tidak berjadual itu dijangka pulih Sabtu depan, tetapi bergantung kepada keadaan paras air di Sungai Cherul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 10:16 AM